
Jemaah haji meninggal dunia kena serangan jantung ketika tawaf
MAKKAH – Seorang lelaki dari Alor Setar, Kedah menjadi jemaah haji kedua Malaysia yang meninggal dunia di Makkah akibat serangan sakit jantung, malam Rabu lepas.
Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ketika kejadian, Allahyarham Mohd Zahir Ismail, 58, dari Maktab 78 dilaporkan sedang menunaikan tawaf umrah pertama bersama isteri dan jemaah yang lain sebelum tiba-tiba rebah di kawasan mataf, lapor portal Sinar Harian.
“Dengan rasa dukacita, kami ingin memaklumkan terdapat kematian kedua, di mana kita telah kehilangan seorang jemaah haji lelaki.
“Beliau daripada KT66 yang baru sampai di Makkah pada 29 Mei dan pada waktu malam selepas Isyak kita anjurkan mereka semua laksanakan umrah pertama dan beliau telah pun jatuh akibat serangan jantung di tempat tawaf,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH), di sini hari ini.
Allahyarham kemudiannya dihantar ke klinik yang terletak dalam Masjidil Haram sebelum dirujuk ke Hospital Arab Saudi, namun disahkan telah meninggal dunia.
Jenazah kemudian disolatkan selepas waktu Zohor di Masjidil Haram, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee, Makkah.
“TH mengucapkan takziah kepada waris jemaah dan kami mendoakan agar segala amal ibadahnya diterima ALLAH SWT,” katanya.
Ini merupakan kematian kedua melibatkan jemaah haji Malaysia selepas kematian pertama berlaku pada 24 Mei lalu, melibatkan seorang lelaki berusia 72 tahun yang meninggal dunia akibat pembuluh darah pecah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








