PTPTN: Sekatan perjalanan luar negara hanya kepada peminjam berpendapatan tinggi
KUALA LUMPUR – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang baharu menamatkan pengajian, belum mempunyai pendapatan tetap serta mereka dalam kalangan B40 dan M40 tidak akan dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara.
Sebaliknya, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd. Halim berkata, sekatan itu hanya dikenakan terhadap peminjam berpendapatan tinggi dan mencukupi yang gagal atau culas membuat bayaran balik pinjaman.
“Hanya peminjam berpendapatan tinggi atau mencukupi yang benar-benar culas dan menepati beberapa kriteria tertentu sahaja akan dikenakan sekatan perjalanan,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Ismail bertanya mengenai langkah kementerian membantu graduan yang belum mendapat pekerjaan tetap, tetapi disenarai hitam untuk ke luar negara kerana gagal menjelaskan tunggakan PTPTN.
Baca juga : PTPTN umum pelanjutan tempoh mohon pelan pembayaran fleksibel hingga 31 Dis
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, ketika ini kira-kira 0.7 peratus daripada keseluruhan peminjam yang culas dikenal pasti dan disenaraikan bagi tindakan sekatan perjalanan ke luar negara.
Menurut beliau, sebagai usaha meringankan beban graduan, tempoh penangguhan bayaran balik selama 12 bulan selepas tamat pengajian terus dikekalkan bagi memberi ruang kepada mereka mendapatkan pekerjaan serta mencapai kestabilan pendapatan.
Selain itu, katanya, peminjam yang tidak berkemampuan turut dibenarkan membuat penstrukturan semula bayaran balik mengikut kemampuan kewangan masing-masing sehingga mencapai usia 60 tahun.
Beliau berkata, setakat ini sejumlah RM77.5 bilion pinjaman telah disalurkan bagi membantu lebih 4.26 juta pelajar di seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








