Kolej Komuniti Pontian bakal dibina, fokus bidang agroteknologi dan pertanian lestari
PONTIAN – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membangunkan Kolej Komuniti (KK) Pontian bernilai RM70 juta sebagai usaha memperluas akses pendidikan kemahiran dan memperkasa pembangunan ekonomi setempat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, projek yang dibina di atas tanah seluas lapan ekar itu dijangka siap sepenuhnya pada 2028 atau 2029.
Menurut beliau, kolej komuniti tersebut akan memberi fokus kepada penawaran program Sijil Agroteknologi dan Sijil Teknologi Pertanian Lestari sejajar dengan kekuatan sektor pertanian serta keperluan industri di daerah Pontian.
“Penyediaan akses pendidikan kemahiran yang berkualiti, inklusif dan relevan dengan keperluan semasa kekal menjadi agenda utama KPT dalam usaha melahirkan modal insan berdaya saing serta kalis masa hadapan,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan KK Pontian di Kompleks Penghulu Mukim Benut hari ini.
Menurut beliau, selain menawarkan program sijil sepenuh masa kepada kira-kira 200 pelajar, KK Pontian turut akan memperkukuh pelaksanaan program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) untuk manfaat komuniti setempat.
“Program PSH akan mula dilaksanakan seawal dua minggu lagi dengan menggunakan kemudahan sedia ada di Kompleks Penghulu Mukim Benut.
“Ia membolehkan penduduk sekitar mengikuti latihan dalam bidang keusahawanan, jahitan, masakan serta pelbagai kemahiran teknikal asas tanpa perlu menunggu kampus baharu siap sepenuhnya,” katanya lagi.
Zambry berkata, setiap pelajar mempunyai potensi tersendiri dan kerajaan bertanggungjawab memastikan akses pendidikan yang adil serta bermakna dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
Beliau turut menyifatkan peningkatan permohonan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai bukti kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan berasaskan kemahiran semakin meningkat.
“TVET bukan sahaja membuka peluang kerjaya lebih luas, malah menawarkan jaminan kebolehpasaran graduan yang lebih kukuh,” katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembinaan kolej komuniti tersebut amat dinantikan penduduk setempat kerana diyakini mampu menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi dan pendidikan di daerah itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








