UUM tubuh dua jawatankuasa, pastikan insiden kemalangan tidak berulang – Zambry
PUTRAJAYA – Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menubuhkan dua jawatankuasa susulan kemalangan tragis melibatkan mahasiswanya baru-baru ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, penubuhan jawatankuasa itu adalah bagi menilai semula aspek keselamatan perkhidmatan bas di kampus, selain memastikan kejadian serupa tidak berulang.
“Mereka akan memastikan supaya prosedur-prosedur yang lengkap itu dipatuhi dengan sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPT di Putrajaya hari ini.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Kelmarin, seorang pelajar UUM dilaporkan maut akibat dilanggar sebuah bas kampus dalam kejadian tragis yang berlaku di hadapan perhentian bas Jalan Persiaran Perdana, UUM Sintok, Kedah.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, mangsa Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Mengulas lanjut, Zambry menegaskan pihaknya tidak memandang ringan insiden kemalangan tersebut dan telah mengarahkan kementerian barkaitan untuk melaksanakan siasatan secara menyeluruh.
“Saya memandang serius bagi setiap kejadian kemalangan yang melibatkan pelajar-pelajar kita.
“Dalam hal ini bukan hanya melibatkan di UUM, tetapi ia melibatkan semua universiti. Kita tidak boleh memandang ringan akan perkara-perkara yang melibatkan pelajar. Saya telah pun mengarahkan supaya siasatan menyeluruh di buat,” katanya.
Dalam pada itu, Zambry turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan atas kejadian yang menyayat itu.
“Saya bagi pihak KPT terlebih dahulu ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar kita yang terlibat, amat menyedihkan bila saya mendapat laporan itu,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








