Yayasan Perkasa Siswa perkukuh objektif, jaga kebajikan mahasiswa
PUTRAJAYA – Yayasan Perkasa Siswa (YPS), agensi rasmi di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), terus memperkukuh objektif penubuhannya menerusi pelbagai inisiatif dalam usaha pemerkasaan mahasiswa melalui aspek pembangunan program, kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YPS, Hirman Awang berkata, usaha tersebut dijalankan bukan sahaja bersama pihak kerajaan, malah ia turut mendapat kerjasama sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan dengan penglibatan semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Menurut Hirman, pelbagai aktiviti telah dirangka dan dilaksanakan bagi mahasiswa seperti tajaan bagi program dan aktiviti pembangunan pelajar, bantuan kebajikan termasuk juga bantuan khairat kematian, bantuan kemalangan, bantuan perubatan dan sebagainya
Jelas beliau, terdapat empat kluster program Pembangunan pelajar yang terdiri daripada aspek kepimpinan, keusahawanan, kesukarelawanan, pengantarabangsaan dan juga kluster Khidmat komuniti sesuai dengan penjenamaan semula Yayasan pada Disember tahun lalu.

“Universiti sebenarnya sangat gembira bila mereka tahu ada satu lagi badan yang boleh turut sama membantu pelajar mereka dalam melaksanakan program dan aktiviti dalam pelbagai bentuk. Selain itu bagi kluster Kebajikan, bantuan kemalangan antara kluster yang kerap disalurkan.
“Lembaga Pemegang Amanah (LPA) telah membuat keputusan minimum RM1000 untuk bantuan kemalangan, jadi kalau mana-mana pelajar kita yang terlibat dalam kemalangan menyebabkan patah dan cedera boleh buat permohonan.
“Contoh kita ada pelajar UiTM yang mengalami kemalangan. keluarga dia datang dari Negeri Sembilan dan apabila keluarga dia datang, ia akan melibatkan kos dan oleh sebab itu, Yayasan hulurkan bantuan dan biasanya kita akan bagi lebih dari RM1000 yang akan diberi terus kepada waris,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual khas bersama media yang diadakan di KPT, Putrajaya, semalam.
Mengulas dengan lebih lanjut, Hirman berkata, dalam usaha memperkasa kegiatan keusahawanan mahasiswa, YPS ada menyediakan geran khas bagi pelajar yang berminat menjalankan perniagaan di dalam, mahupun di luar kampus.
Bukan itu sahaja, pelajar juga boleh mengemukakan permohonan dana sekiranya mereka ingin menjalankan program berbentuk keusahawanan.
Beliau berkata, jumlah maksimum dana yang ditawarkan bagi geran itu ialah sebanyak RM5,000 bergantung kepada jenis perniagaan, yang sekali gus mampu menyara kehidupan harian pelajar di kampus.
Bukan itu sahaja, kata Hirman, pihak YPS juga membenarkan permohonan dana bagi perniagaan secara dalam talian seperti menjadi agen perniagaan atau menyertai program affiliate.
“Sekiranya mereka ingin buat perniagaan di dalam kampus atau di luar kampus, kita akan bagi geran keusahawanan tersebut.
“Contohnya, baru-baru ini kita beri geran keusahawanan kepada lima pelajar Universiti Malaya (UM) berjumlah RM1500 untuk memulakan perniagaan percetakan yang mana mereka hanya perlu kemukakan pelan dan model rangka perniagaan yang mereka ingin buat dan kita akan nilai untuk kelulusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hirman berkata, YPS terbuka kepada mana-mana badan di luar sana yang berminat untuk menjadi rakan strategik bagi membantu lebih ramai pelajar di masa akan datang.
Menurut Hirman lagi, buat masa ini, YPS mempunyai tiga rakan strategik utama, iaitu RHB Islamic Bank Bhd, OneXOX serta GMAT.
“Sekiranya kita mempunyai lebih banyak rakan strategik untuk bekerjasama, lebih ramai pelajar yang akan mendapat manfaat sebab untuk rekod, terdapat 1.2 juta mahasiswa yang berdaftar di bawah KPT dan kita tidak dapat bantu semua.
“Justeru itu, kalau ada sokongan daripada pihak-pihak korporat mahupun NGO yang ingin berkerjasama, kita sedia untuk berbincang dan melihat bagaimana kita boleh sama-sama bantu pelajar,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








