13 pelajar UPSI maut nahas bas peminjam PTPTN – Zambry
PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan 13 daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas sewa di Jalan Raya Gerik-Jeli kelmarin merupakan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Sehubungan itu, katanya, kesemua mereka layak mendapat manfaat penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman menerusi Skim Perlindungan Takaful Berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN.
“Selain itu, kesemua 13 waris juga akan menerima (sumbangan) khairat kematian berjumlah RM1,500 bagi setiap pelajar,” kata Zambry dalam satu hantaran ringkas di akaun Facebook miliknya, sebentar tadi.
Terdahulu, pelupusan pinjaman tersebut diumumkan oleh Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang akhbar mingguan beliau.
Ketika mengumumkan perkara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Zambry ketika mesyuarat jemaah Menteri, hari ini.
“Sekiranya ada pelajar UPSI yang merupakan penerima pinjaman PTPN berdasarkan dasar sedia ada pinjaman mereka akan dilupuskan atau dimaafkan melibatkan 15 orang mangsa itu,” kata Fahmi.
Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, seramai 15 pelajar UPSI terbunuh apabila bas dinaiki mereka terbabas selepas melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








