PTPTN: Kerajaan pertimbang perkenal semula sekatan perjalanan ke luar negara
KUALA LUMPUR – Kerajaan masih mempertimbangkan cadangan memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar balik pinjaman mereka.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mustapha Sakmud berkata, tidak dinafikan pelaksanaan sekatan perjalanan sebelum ini memberi impak yang baik dari segi pembayaran semula namun ia telah dimansuhkan.
“Kita sedang mempertimbangkan sama ada kaedah ini adalah kaedah terbaik (kerana) ada juga cadangan kaedah lain untuk pembayaran balik.
“Ini masih dalam pertimbangan. Kita belum putuskan sama ada guna semula pendekatan ini atau tidak,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan seorang Ahli Dewan Negara sekiranya kerajaan akan mengenakan semula sekatan tersebut memandangkan keberkesanan kaedah itu sebelum ini.
Menjawab soalan sama ada kerajaan bercadang menghapuskan terus pinjaman PTPTN, Mustapha berkata, langkah itu tidak adil kepada seramai 1,044,595 peminjam yang telah selesai membayar balik pinjaman mereka.
Bagaimanapun katanya, Kerajaan Madani membuka ruang sebaik mungkin kepada golongan B40 untuk datang berbincang di pejabat PTPTN bagi penstrukturan semula pembayaran.
“Ini memang soalan cepu emas. Memang banyak manifesto parti-parti politik hapus sana, hapus sini, tetapi kita sedia maklum kita kena praktikal juga kerana dana digunakan untuk membiayai PTPTN cukup besar.
“Ramai yang sudah bayar dan ada yang tidak bayar, adakah adil melepaskan mereka ini, yang dah bayar bagaimana? Jadi kita kena fikirkan keadilan untuk semua,” katanya.
Terdahulu, beliau memaklumkan, sehingga 31 Disember 2024, seramai 4,108,625 telah diluluskan pinjaman PTPTN dan daripada jumlah tersebut seramai 2,831,742 peminjam patut telah membuat bayaran balik pinjaman.
Jelas beliau, seramai 1,044,595 peminjam telah selesai membayar balik pinjaman mereka, manakala 585,638 peminjam sedang membuat bayaran balik secara konsisten dan tiada tunggakan bayaran.
“Seramai 817,872 peminjam membuat bayaran balik secara tidak konsisten dan mempunyai tunggakan bayaran balik dan 383,637 peminjam tidak pernah membuat bayaran balik pinjaman mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






