LUAR NEGARA

Lori muatan Shopee terbakar di lebuh raya, tujuh tan bungkusan musnah

JAKARTA – Sebuah lori membawa ribuan bungkusan pelanggan platform e-dagang Shopee dilaporkan terbakar di Lebuhraya Tol Solo–Semarang, Indonesia, mengakibatkan kira-kira tujuh tan barangan hangus dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Menurut laporan beberapa portal tempatan termasuk Lambe Turah dan media Indonesia lain, kejadian berlaku pada pukul 5.45 pagi (waktu tempatan) sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira tiga jam kemudian.

Ketua Jabatan Bomba Salatiga, Ponco Hasan Margono berkata, lori dengan nombor pendaftaran B 9476 PEV itu sedang dalam perjalanan dari Surabaya menuju ke Jakarta ketika kebakaran tercetus.

“Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula daripada percikan api di bahagian belakang kenderaan sebelum ia cepat merebak dan memusnahkan keseluruhan muatan,” katanya.

Tambah beliau, anggota bomba menghadapi cabaran memadamkan api berikutan kepadatan trafik di lebuh raya berkenaan selain muatan yang mudah terbakar.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam insiden itu, namun kerugian dianggarkan tinggi memandangkan jumlah bungkusan yang musnah.

Beberapa laporan media Indonesia turut menyebut bahawa kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku melibatkan kenderaan logistik.

Justeru, ia mencetuskan kebimbangan mengenai aspek keselamatan penghantaran barangan e-dagang di laluan jarak jauh.

Pihak berkuasa kini masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta menilai kemungkinan faktor teknikal atau kecuaian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button