Perkukuh Rukun Negara, peguam saran Perlembagaan dipinda
KUALA LUMPUR – Perlembagaan Persekutuan disaran dipinda bagi memperkukuh kedudukan Rukun Negara termasuk menjadikannya sebagai mukadimah serta menggubal undang-undang khusus bagi memastikan pematuhan terhadap prinsip tersebut.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, langkah itu penting bagi memberikan asas perundangan yang lebih jelas dan kukuh terhadap pelaksanaan Rukun Negara dalam sistem perundangan negara.
Beliau berkata, cadangan berkenaan dibuat susulan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menekankan kepentingan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, ketika ini titah berkenaan lebih bersifat nasihat kerana tiada peruntukan undang-undang khusus yang membolehkan tindakan diambil terhadap pelanggaran prinsip Rukun Negara.
“Saya menyarankan mana-mana kerajaan sedia ada atau akan datang selepas Pilihan Raya Umum ke-16 supaya melaksanakan pindaan Perlembagaan dengan memasukkan lima prinsip Rukun Negara sebagai mukadimah, selain menggubal undang-undang bertulis khusus,” memetik Awani Online.
Tambah beliau, melalui pendekatan itu, sebarang pelanggaran terhadap prinsip asas seperti kepercayaan kepada Tuhan serta kesetiaan kepada Raja dan negara boleh diperuntukkan di bawah kerangka undang-undang yang jelas.
Haniff turut memberi contoh negara jiran Indonesia yang memperkukuh prinsip Pancasila melalui perundangan khusus pada 2011, meskipun ia diisytiharkan sejak 1945.
“Malaysia tidak seharusnya ketinggalan dalam memperkukuh Rukun Negara sebagai asas pembentukan jati diri dan perpaduan nasional,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, tanpa penguatkuasaan undang-undang, Rukun Negara hanya kekal sebagai slogan dan tidak mempunyai kuasa mengikat dari segi perundangan.
“Jika kita hanya memaparkan Rukun Negara tetapi tidak boleh bertindak apabila ia dilanggar, maka kedudukannya belum dimartabatkan sepenuhnya,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar undang-undang berkaitan turut mengambil kira isu seperti penghinaan terhadap institusi diraja dan pelanggaran nilai asas kenegaraan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








