Tanah hutan simpan kekal diguna untuk pembangunan mesti diganti serentak – Johari
KUALA LUMPUR – Sebarang tanah hutan simpan kekal yang dinyahwarta untuk pembangunan perlu diganti serentak dengan tanah milik kerajaan seperti diperuntukkan di bawah Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Akta A1667).
Menteri Perladangan dan Komoditi yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ketetapan itu menghalang kerajaan negeri daripada hanya berjanji mengganti tanah selepas hutan simpan diambil untuk pembangunan.
“Jika mahu gunakan 2,000 hektar hutan simpan, penggantian dengan tanah lain mesti dibuat serta-merta dan diwartakan sekali,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Johari, kerajaan juga menyediakan insentif menerusi Pembayaran Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) kepada negeri yang mengekalkan hutan.
“Setakat ini jumlah EFT adalah RM800 juta dan bagi tahun ini sahaja, RM250 juta sudah disalurkan,” katanya.
Menjawab soalan asal Chong Zhemin (PH-Kampar), Johari berkata, rekod Jabatan Perhutanan Perak menunjukkan sebanyak 13,402 hektar hutan simpan kekal dinyahwarta antara 2018 hingga 2024.
Katanya, ia membabitkan pembukaan kawasan pertanian, penempatan Orang Asli, pembinaan lebuh raya serta utiliti lain termasuk loji jana kuasa.
“Namun kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Perak giat melaksanakan pewartaan semula. Sehingga tahun lalu, sebanyak 6,249 hektar sudah diganti,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








