BERITA SEMASADALAM NEGERI

Akta Pekerja Gig 2025 berkuat kuasa hari ini, lindungi lebih 1.64 Juta individu – Ramanan

PUTRAJAYA – Lebih 1.64 juta individu yang terlibat dalam sektor ekonomi gig di negara ini kini menikmati perlindungan perundangan berikutan penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), yang mula berkuat kuasa hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, akta itu membolehkan pekerja gig menerima perlindungan yang lebih jelas termasuk ketelusan perjanjian perkhidmatan, kadar pendapatan yang dipersetujui, larangan diskriminasi, keselamatan sosial melalui PERKESO, serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Beliau menegaskan, akta berkenaan turut memperkenalkan Tribunal Pekerja Gig sebagai saluran alternatif bagi menyelesaikan pertikaian antara pekerja dan entiti kontrak secara lebih cepat dan mudah berbanding saluran sivil di mahkamah.

“Melalui Akta ini, pekerja gig kekal bekerja secara fleksibel dan akta ini tidak akan mengganggu ekosistem gig itu sendiri,” katanya pada sidang media pengumuman rasmi penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025, di sini, hari ini.

Ramanan menambah, caruman keselamatan sosial kepada PERKESO dilaksanakan secara automatik oleh platform, sekaligus memastikan perlindungan hak pekerja dan keselamatan sosial diperluaskan kepada semua peserta ekonomi gig.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kerajaan melantik seramai 26 anggota Majlis Perundingan Gig (MPGig) yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman, berkuat kuasa esok.

Mesyuarat pertama MPGig dijadual berlangsung pada 3 April ini bagi membincangkan isu kadar pendapatan pekerja gig, yang menjadi antara masalah utama sering dibangkitkan oleh mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button