BERITA SEMASA

Foodpanda, KWSP meterai MoU

KUALA LUMPUR – Foodpanda Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membolehkan rakan penghantarnya mencarum setiap bulan ke akaun KWSP mereka melalui program i-Saraan.

Menurut Pengarah Operasi, Foodpanda Malaysia, Shubham Saran, MoU ini merupakan satu peristiwa penting dalam memberi jaminan kewangan dan manfaat kepada rakan penghantar syarikatnya.

“Dengan lebih 50,000 pekerja gig sebagai rakan penghantar, Foodpanda mengiktiraf kepentingan kestabilan kewangan mereka.

“MoU ini membolehkan rakan penghantar kami mencarum setiap bulan ke akaun KWSP mereka melalui program i-Saraan dan dengan ini, mereka dapat memastikan masa depan yang lebih terjamin,” kata Shubham dalam satu kenyataan, hari ini.

MoU tersebut ditandatangani antara Shubham bagi mewakili Foodpanda, dengan Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin.

Shubham kemudiannya berkata, pihaknya akan terus menyediakan pelbagai sumber dan sokongan kepada rakan penghantar bagi memastikan mereka berjaya dalam peranan yang mereka laksanakan.

Sehubungan itu, kata Shubham, Foodpanda akan turut bekerjasama dengan KWSP untuk mendidik rakan penghantar mengenai kepentingan dan kemudahan menyimpan untuk persaraan mereka.

“Kita akan adakan ceramah mengenai perancangan persaraan dan kewangan, serta membantu rakan penghantar mendaftar dan menyediakan akaun KWSP mereka.

“Di samping itu, kami akan melaksanakan sistem baharu yang mana rakan penghantar boleh memilih untuk mencarum secara automatik ke akaun KWSP mereka,” kata Shubham lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button