BERITA SEMASA

Skim SEGiM bakal diperkasa, diperluas kepada pekerja gig bukan platform

SUBANG – Skim Keselamatan Sosial Gig Malaysia (SEGiM) yang telah diluluskan Kabinet akan ditambah baik sebelum dilaksanakan sepenuhnya termasuk memperluaskan perlindungan kepada pekerja gig yang tidak bernaung di bawah platform digital.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, skim berkenaan tertangguh sejak 2023 dan ketika ini hanya memberi tumpuan kepada pekerja gig di bawah platform.

Menurutnya, beberapa penambahbaikan sedang dipertimbangkan bagi memastikan perlindungan itu dapat meliputi lebih ramai pekerja dalam sektor gig.

“Memang skim ini telah diluluskan, tetapi terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan. Antaranya, ketika ini SEGiM hanya tertumpu kepada pekerja di bawah platform sahaja.

“Bagaimanapun, di bawah Kementerian Sumber Manusia, kita mempunyai Akta Gig yang akan melibatkan pekerja platform dan juga pekerja bukan platform,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program penyerahan sumbangan baju raya kepada 50 pelajar Tahfiz Az Zahra Lilbanin di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, malam tadi.

Dalam majlis sama, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) turut menyumbangkan pakaian raya bagi membantu persiapan pelajar tahfiz berkenaan menyambut Aidilfitri.

Selain itu, para pelajar juga menerima sumbangan duit raya yang diselaraskan oleh penganjur, termasuk sumbangan tambahan daripada Ramanan sendiri serta Pengarah Eksekutif NIOSH, Datuk Ayop Salleh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button