Kerajaan sedia peruntukan tambahan RM40 juta bantu pembangunan komuniti India
KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM40 juta sebagai tambahan bagi memperkukuh pembangunan komuniti India di Malaysia.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, peruntukan itu akan disalurkan menerusi empat inisiatif baharu termasuk menaik taraf infrastruktur perkampungan India (RM5 juta), penambahbaikan makmal ICT di SJKT (RM5 juta), pemerkasaan rumah ibadat Hindu sebagai pusat komuniti (RM20 juta), serta bantuan one-off RM1,000 bagi pembaikan rumah pekerja ladang India B40.
Beliau menegaskan, langkah itu membuktikan kesungguhan kerajaan memperkukuh pembangunan komuniti India melalui strategi menyeluruh dan bersepadu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Kalau kita lihat apa yang telah disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tadi (di Dewan Rakyat), memang ternyata tidak pernah ada mana-mana kaum pun dipinggirkan, khususnya komuniti India.
“Banyak program telah dirangkumkan, antaranya pembangunan bakat termasuk pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET),” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Tambahnya, pembangunan komuniti India tidak hanya bergantung kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), sebaliknya turut melibatkan pelbagai kementerian serta agensi lain.
Katanya, Kerangka MADANI diperkenalkan dengan pendekatan baharu yang lebih strategik dan efektif.
“Program-program yang telah dirangkumi selain daripada MITRA bukan sahaja daripada KUSKOP, tetapi juga program PENN, Amanah Ikhtiar, TEKUN yang dinaik kepada RM100 juta, BRIEF-i Bank Rakyat RM100 juta, program baharu SME Bank iaitu Vanigham, serta SME Corp menerusi IBEP (Indian Business Accelerator Programme) yang merupakan matching grant,” jelasnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








