BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

RMK13 fokus perkukuh infrastruktur digital, perluas capaian internet berkelajuan tinggi – Fahmi

KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi penekanan kepada usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur digital negara termasuk memperluas capaian internet berkelajuan tinggi dengan kos lebih berpatutan untuk rakyat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tumpuan tersebut seiring komitmen kerajaan MADANI untuk memastikan akses internet bukan sahaja meluas, tetapi turut selamat dan mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Fokus kita adalah memastikan capaian internet terus ditambah baik, insya-Allah dengan kos yang lebih rendah dan lebih selamat, terutama untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Menurut beliau, aspek keselamatan digital juga diberi perhatian serius termasuk pelaksanaan inisiatif Digital ID dan penambahbaikan sistem log masuk bagi perkhidmatan dalam talian kerajaan serta pengenalan Identiti Digital Perniagaan untuk memudahkan akses kepada pembiayaan dan pasaran antarabangsa.

Fahmi berkata, usaha itu turut merangkumi pemantapan ekosistem ekonomi digital dan pengurusan data selari dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai antara negara utama berteraskan kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh 50 tahun akan datang.

“Ini juga termasuk memperkasakan sektor kreatif melalui ekonomi jingga dengan sokongan MyCreative Ventures dan FINAS yang akan memberi tumpuan kepada penghasilan animasi dan kandungan bernilai komersial tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan turut memberi perhatian terhadap pembangunan luar bandar termasuk komuniti di Sabah dan Sarawak dengan meningkatkan kemudahan telekomunikasi melalui program JENDELA 2 dan projek Point of Presence.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memaklumkan Kementerian Komunikasi akan mengadakan sesi taklimat RMK13 secara serentak kepada 1,878 Komuniti MADANI dan 1,069 Pengurus NADI di seluruh negara malam ini.

Katanya, sesi taklimat itu bertujuan memperjelas isi kandungan serta matlamat RMK13 kepada penggerak akar umbi agar mereka dapat membantu menyampaikan maklumat dasar kepada rakyat secara berkesan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button