Malaysia perangi jenayah siber, anjur Cyber Games 2025
KUALA LUMPUR – Serangan ransomware di Malaysia melonjak 78 peratus pada suku keempat 2024, sekaligus mencetus kebimbangan terhadap peningkatan ancaman siber dan mendorong gesaan kepada kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh.
Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar berkata, perkembangan itu mencerminkan keperluan mendesak barisan hadapan serantau dan global yang lebih kukuh bagi membendung jenayah siber yang semakin berani dan berteknologi tinggi.
“Ancaman siber masa kini semakin kompleks, pantas berkembang dan tidak mengenal sempadan. Serangan ransomware, pencerobohan data serta penipuan siber terus meningkat dari segi kekerapan dan sofistikasinya. Cyber Games 2025 merupakan tindak balas strategik terhadap keperluan mendesak ini,” katanya pada majlis perasmian Cyber Games 2025, di sini, hari ini.
Edisi sulung Cyber Games 2025 yang berlangsung selama empat hari itu dianjurkan oleh Malaysia dengan kerjasama Majlis Eropah, Interpol serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), melibatkan penyertaan 120 peserta dari 40 negara, antaranya United Kingdom, Switzerland, Korea Selatan, Jepun, Hong Kong, Qatar, Maghribi, Ukraine, Turkiye, Chile, Brazil, Armenia, Albania, Vietnam, Laos, Thailand dan Singapura.
Acara itu dirangka sebagai platform antarabangsa bagi memperkukuh kapasiti keselamatan siber global, memupuk kolaborasi rentas negara serta meningkatkan keupayaan forensik digital dalam kalangan profesional industri.
“Cyber Games menyatukan penguat kuasa undang-undang, penyiasat jenayah siber dan pakar forensik digital untuk mengharungi simulasi serangan siber dalam persekitaran bertekanan tinggi.
“Pendekatan ini membolehkan peserta mengasah kecekapan taktikal dan teknikal dalam menangani insiden sebenar,” jelas Fabian.
Latihan merangkumi pelbagai disiplin termasuk forensik digital, analisis rantaian blok (blockchain), perisikan sumber terbuka (open-source intelligence), analisis perisian hasad dan tindak balas terhadap insiden keselamatan siber.
“Penganjuran Cyber Games 2025 mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju keselamatan siber serantau berikutan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
“Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia meletakkan keselamatan siber dan pencegahan jenayah siber sebagai agenda utama serantau.
“Kami komited untuk merangka dasar serta inisiatif yang mampu memperkukuh ekosistem siber ASEAN dan mempertingkatkan kepercayaan terhadap ruang digital dalam kalangan negara anggota,” katanya.
Dalam pada itu, Fabian memaklumkan kerajaan mengambil langkah konkrit memperkukuh kerangka perundangan negara bagi menangani jenayah siber secara menyeluruh.
“Kerajaan telah meluluskan penyertaan Malaysia ke dalam Konvensyen Budapest mengenai Jenayah Siber dan kini sedang merangka Rang Undang-Undang Jenayah Siber yang dijadualkan untuk dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini,” ujarnya.
Menurut beliau, inisiatif itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kesiapsiagaan negara, menyelaraskan undang-undang dengan standard antarabangsa dan memperkukuh keupayaan menghadapi ancaman siber.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








