Jangan simbah minyak pada api yang sedang marak – Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan supaya semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.
Kenyataan itu yang dimuat naik dalam laman Facebooknya dipercayai berkaitan dengan satu hantaran berbentuk sindiran oleh Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
“Jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak,” katanya ringkas dalam hantaran tersebut.
Terdahulu pemimpin UMNO mengecam hantaran yang dimuat naik oleh Ahli Parlimen Puchong itu yang disifatkan sebagai tiada simpati dan empati terhadap penderitaan orang lain.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bekas Perdana Menteri itu kekal menjalani baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang, bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching hari ini menolak permohonan semakan Najib yang juga bekas Presiden UMNO, bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum.
Hakim memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Sehubungan itu, Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








