BERITA SEMASA

Selangor meterai dua MoC strategik, perkukuh pembangunan modal insan dan bekalan air

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor terus komited memperkukuh kerjasama strategik antara sektor kerajaan, akademik dan industri menerusi pemeteraian dua Memorandum Kerjasama (MoC) melibatkan Air Selangor bersama Universiti Selangor (UNISEL), Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) dan Central Spectrum Sdn Bhd, hari ini.

Majlis menandatangani MoC tersebut disempurnakan oleh Datuk Seri Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor merangkap Exco Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan.

Beliau berkata kerjasama antara Air Selangor, UNISEL dan STDC bakal melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam industri air, selain memastikan kesinambungan bekalan air bersih dan selamat untuk rakyat Selangor.

“Kerjasama ini membentuk sinergi tiga penjuru antara institusi pengajian tinggi, pusat kemahiran teknikal dan industri perkhidmatan air yang akan meningkatkan pembangunan modal insan dan kelestarian sumber air negeri,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pemeteraian MoC ini adalah selari dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan menyediakan laluan kerjaya yang lebih luas kepada anak muda di Selangor.

“Tenaga kerja masa kini perlu dibekalkan bukan hanya dengan teori, tetapi kemahiran praktikal yang relevan dengan kehendak industri termasuk melalui latihan industri dan pembelajaran berasaskan projek,” katanya lagi.

Dalam majlis yang sama, turut dimeterai MoC antara Air Selangor dan Central Spectrum Sdn Bhd bagi menjamin keterjaminan bekalan air di kawasan pembangunan Pulau Indah, khususnya projek Selangor BioBay (SBB) Industrial Park.

Menurut Amirudin, kerjasama itu penting dalam memastikan kelengkapan infrastruktur asas seperti bekalan air dapat memenuhi keperluan pembangunan berskala besar seperti SBB yang memberi tumpuan kepada sektor bioteknologi dan perindustrian hijau.

“Pemeteraian MoC ini adalah satu langkah strategik yang akan menarik minat pelabur ke negeri ini dan melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi Selangor,” katanya lagi.

Jelas beliau lagi, inisiatif seperti ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memacu pembangunan inklusif dan mampan serta mengekalkan Selangor sebagai negeri paling maju di Malaysia.

Majlis tersebut turut dihadiri wakil pengurusan tertinggi daripada Air Selangor, UNISEL, STDC dan Central Spectrum Sdn Bhd.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button