Bekas Gabenor BNM terajui Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor
SHAH ALAM – Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim dilantik mengetuai Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor bagi menangani kesan konflik di Asia Barat yang menjejaskan bekalan tenaga global.
Beliau akan mempengerusikan jawatankuasa tersebut yang turut dianggotai Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Noor Azlan Ghazali serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Mohamed Rafique Merican.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, keputusan tersebut dicapai selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Ekonomi Selangor yang menilai langkah respons terhadap kesan krisis perang Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
Menurut beliau, krisis yang menutup Selat Hormuz memberi kesan kepada bekalan bahan tenaga penting termasuk bagi sektor pengangkutan, baja dan urea untuk penghasilan makanan, selain bahan kimia serta helium yang digunakan dalam sektor hospital dan pembuatan semikonduktor.
“Bagi mempercepatkan usaha ini, sebuah Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor akan ditubuhkan melibatkan pakar dalam bidang sosioekonomi, industri, tenaga, makanan, perbankan dan akademia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan khas itu akan mencadangkan langkah segera bagi mengurangkan kesan kepada rakyat serta merangka tindakan sehingga tempoh setahun sekiranya konflik berterusan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








