Sultan Selangor kurnia gelaran Datin Paduka Seri kepada isteri Raja Muda
KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datin Paduka Seri kepada Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, dalam kenyataan hari ini berkata pengurniaan tersebut disempurnakan selepas Cik Afzaa Fadini selamat diijabkabulkan dengan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
“Dengan ini, gelaran rasmi kepada isteri Raja Muda Selangor ialah Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz,” katanya.
Majlis akad nikah pasangan diraja itu berlangsung pagi tadi di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, di sini, dalam suasana penuh adat istiadat.
Tepat jam 10.05 pagi, sebanyak 11 das tembakan kehormatan dilepaskan di pekarangan Istana Alam Shah bagi menandakan selesainya upacara ijab kabul.
Tengku Amir Shah yang segak berbaju Melayu putih berarak menaiki Rolls Royce menuju Masjid Istana Diraja dalam kawasan Istana Alam Shah untuk upacara pernikahan tertutup berkenaan.
Sementara itu, Istiadat Persandingan Diraja serta Majlis Santapan Diraja bagi meraikan perkahwinan Raja Muda Selangor akan berlangsung pada 22 Oktober ini di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







