BERITA SEMASA

Ganjaran hingga RM2,000 galak pelupusan kenderaan buruk di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Pemilik kenderaan buruk dan tersadai di ibu negara berpeluang menerima ganjaran tunai antara RM100 hingga RM2,000 sekiranya melupuskan kenderaan secara sah menerusi Program Pelupusan Kenderaan Buruk/Tersadai Secara Sukarela anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

datuk bandar dbkl
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (kiri), Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadhlun Mak Ujud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, inisiatif berkenaan memberi insentif kepada pemilik untuk melupuskan kenderaan dengan lebih mudah melalui sistem e-Dereg.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja memudahkan urusan pelupusan secara sah, malah turut membantu memastikan persekitaran bandar raya lebih bersih, tersusun dan selamat.

hannah yeoh

“Ganjaran tunai ini ditawarkan bagi menggalakkan pemilik melupuskan kenderaan secara sukarela dan tidak membiarkannya tersadai di kawasan awam,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 2022 hingga 2025, DBKL telah melaksanakan lebih 4,500 tindakan tunda atau angkut susulan 9,600 aduan awam yang diterima.

“Bagi tahun 2026 pula, sebanyak 768 kenderaan telah dilupuskan setakat awal April, menunjukkan kesinambungan tindakan penguatkuasaan dan pengurusan secara berperingkat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, DBKL menyediakan tiga depoh utama iaitu di Taman Connaught, Cheras; Pantai Sentral, Lembah Pantai; dan Jalan Mas, Chan Sow Lin dengan kapasiti keseluruhan kira-kira 3,100 kenderaan.

DBKL turut melantik Car Medic Sdn Bhd sebagai penyedia perkhidmatan bagi kerja tunda, logistik serta pelupusan secara lestari.

Sehubungan itu, Hannah menyeru pemilik kenderaan agar memanfaatkan insentif ditawarkan bagi mengelakkan kenderaan terus terbiar di tempat awam, sekali gus menyokong usaha menjadikan Kuala Lumpur lebih bersih, selamat dan berdaya huni.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button