Kuala Lumpur sebagai tapak warisan dunia, RM1 Bilion diperuntukkan
KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kawasan dari Dataran Merdeka hingga Carcosa Seri Negara akan diwartakan sebagai Tapak Warisan Kuala Lumpur, dengan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion melalui Khazanah Nasional Berhad.
Beliau menyatakan bahawa kawasan tersebut, merangkumi Bangunan Sultan Abdul Samad dan Stesen Keretapi Tanah Melayu, akan dipelihara sebagai simbol warisan sejarah dan identiti kebangsaan.
“Pagi tadi Jemaah Menteri meminta Khazanah dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerangkan mengenai seluruh kawasan bermula dari Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad, Keretapi Tanah Melayu sehingga Carcosa Seri Negara untuk dijadikan keseluruhan tapak Warisan Kuala Lumpur,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor di Shah Alam.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menekankan bahawa pembangunan Kuala Lumpur harus mengekalkan ciri-ciri unik dan kawasan hijau, agar tidak menjadi ‘hutan konkrit’ semata-mata.
Beliau turut menyatakan walaupun terdapat sumbangan daripada pelbagai kaum, warisan Melayu harus ketara dalam gambaran pembangunan baharu di seluruh koridor bersejarah tersebut.
Khazanah Nasional Berhad telah diberi amanat untuk merangka pelan wajah baharu Kuala Lumpur yang merangkumi pembangunan moden sambil mengekalkan warisan sejarah ibu negara. Pelan itu melibatkan kawasan seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Carcosa Seri Negara.
Inisiatif tersebut selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), yang bertujuan memperkukuh identiti budaya Melayu dalam pembangunan ekonomi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








