BERITA SEMASA

Resolusi Kuala Lumpur bakal dibawa ke Sidang Kemuncak ASEAN

KUALA LUMPUR – Malaysia menutup tirai tiga perhimpunan utama ASEAN dengan penggubalan Resolusi Kuala Lumpur mengenai Pembandaran Mampan 2025 yang bakal dibawa sebagai input rasmi ke Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-47 pada Oktober ini.

Resolusi Kuala Lumpur bakal dibawa ke Sidang Kemuncak ASEAN
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, acara yang menghimpunkan lebih 9,120 peserta dari 66 negara, termasuk 300 gabenor dan datuk bandar, sekali gus menjadikan penganjuran kali ini antara yang terbesar pernah diadakan.

“Ia merangkumi Forum Pembandaran Mampan ASEAN (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC) 2025 itu merupakan enjin masa depan ASEAN yang memerlukan tindakan berani dan berpaksikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kor Ming berkata, melalui ASUF semua pihak berjaya menyelaraskan strategi dengan ASEAN Sustainable Urbanisation Strategy (ASUS) dan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 selain memeterai 10 memorandum persefahaman bagi memperkukuh kerjasama bandar mampan.

“Bagi AGMF pula, peserta bersetuju dengan pelaksanaan Joint Action 2025 yang menekankan transformasi digital, penyesuaian iklim berasaskan komuniti serta penglibatan wanita dan belia dalam tadbir urus bandar,” katanya lagi.

Sementara itu, MGMAC mencapai persetujuan melalui Joint Communique 2025 yang memperkukuh rangkaian bandar ibu negara serta mempromosi laporan pembangunan mampan tempatan atau Voluntary Local Reviews (VLR).

“Malaysia turut mengumumkan beberapa inisiatif termasuk penubuhan Rangkaian Pemimpin Bandar ASEAN, pelancaran Dana Inovasi Bandar ASEAN dan integrasi VLR dalam laporan pembangunan mampan serantau.

“Pada peringkat global, negara ini akan menganjurkan edisi kebangsaan Mesyuarat Menteri Bandar dan Iklim sempena Urban October yang hasilnya akan dibawa ke COP30 di Belém, Brazil,” katanya lagi.

Selain itu, Malaysia akan menggalakkan penganjuran Town Hall COP, menubuhkan rangkaian menteri bandar bagi isu perubahan iklim dan mengusulkan mekanisme rasmi perubahan iklim dalam perbincangan UNFCCC.

Kor Ming turut berkata, masa depan ASEAN tidak boleh ditentukan secara atas ke bawah semata-mata, sebaliknya perlu ditulis bersama oleh bandar, komuniti dan rakyat sendiri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button