BERITA SEMASA

Pengamal media mahu kebajikan, perlindungan diperkukuh

PUTRAJAYA – Pengalaman berdepan kemalangan jalan raya, cuaca buruk dan situasi berisiko ketika menjalankan tugasan menguatkan lagi tuntutan supaya kebajikan serta perlindungan pengamal media terus diperkasa.

Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, beberapa pengamal media berkongsi cabaran yang pernah dilalui ketika melaksanakan tugasan demi memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat dan pantas.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj ketika menghadiri Dialog Menteri Komunikasi Bersama Media sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di sebuah hotel hari ini. – Bernama.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj ketika menghadiri Dialog Menteri Komunikasi Bersama Media sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di sebuah hotel hari ini.

Jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Mohamad Huzaini Md Daud, 53, berkata, beliau pernah mengalami kemalangan pada 20 April lalu ketika pulang daripada tugasan sehingga menyebabkan tulang belikat kiri retak.

Menurutnya, kemalangan itu merupakan insiden kedua yang dialaminya sepanjang lebih 23 tahun bergelar pengamal media.

“Kemalangan pertama berlaku tiga tahun lalu dan hanya motosikal saya mengalami kerosakan. Kemalangan kedua pada April lalu menyebabkan bahu kiri saya cedera dan sehingga kini masih terasa sakit kerana tulang belikat retak.

“Sekarang saya masih menjalani rawatan fisioterapi,” memetik Hawana.my hari ini.

Sementara itu, jurukamera Malaysia Gazette, Mohd Airulrezal Amirudin, 44, berkata, pengalaman paling sukar dilaluinya adalah apabila terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke lokasi tugasan pada Jun 2024.

Beliau berkata, insiden itu menyebabkan dirinya dirawat di Hospital Serdang selama dua minggu dan terpaksa bercuti sakit selama empat bulan akibat kecederaan pada tulang belakang serta bahu kanan.

Dalam pada itu, wartawan Malaysia Tribune, Muzamir Ismail berkata, antara tugasan paling mencabar pernah dilaluinya ialah membuat liputan kejadian banjir kilat pada waktu malam ketika hujan lebat dan keadaan penglihatan yang terhad.

Menurutnya, walaupun berdepan keadaan cuaca yang sukar, laporan dan bahan visual tetap perlu dihantar dalam tempoh segera bagi memastikan maklumat sampai kepada orang ramai.

“Situasi seperti ini merupakan sebahagian daripada realiti tugas pengamal media yang perlu sentiasa bersedia berada di lapangan tanpa mengira waktu dan keadaan,” katanya lagi.

Mereka yang ditemui turut sependapat bahawa aspek kebajikan dan perlindungan, termasuk penyediaan skim insurans yang bersesuaian, perlu diberi perhatian sebagai jaminan keselamatan kepada pengamal media.

Sementara itu, Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia, Mohamad Fauzi Ishak berkata, pengorbanan yang dilakukan oleh pengamal media dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat wajar disusuli dengan sokongan kebajikan yang lebih menyeluruh.

Menurutnya, perlindungan insurans yang lebih kukuh juga perlu dipertimbangkan bagi memastikan kebajikan pengamal media sentiasa terpelihara ketika menjalankan tugas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button