Dana Inovasi Media: RM10.3 juta telah diluluskan untuk 34 organisasi media tempatan
PUTRAJAYA – Sebanyak RM10.3 juta peruntukan Dana Inovasi Media yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 telah diluluskan untuk organisasi media tempatan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jumlah itu meliputi pembiayaan untuk 34 daripada 50 organisasi media yang membuat permohonan.
“Dana ini bukan hanya bertujuan memperkukuh keupayaan organisasi media melalui penerapan teknologi baru, pembangunan kandungan berkualiti serta peningkatan kemahiran tenaga kerja.
“Malah, ia juga menjadi pemangkin kepada ekosistem media yang lebih mampan, progresif dan berdaya saing terutama pada ketika pelbagai perubahan sedang melanda sektor media,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.
Tahun lalu, kerajaan telah memperuntukkan dana berjumlah RM30 juta dalam usaha memperkukuh dan mentransformasikan industri media tempatan.
“Kerajaan yakin inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang kepada organisasi media, terutama media tempatan untuk berkembang dan menyampaikan maklumat yang tepat, berintegriti, beretika serta berkualiti kepada rakyat,” katanya.
Fahmi memaklumkan, bagi Dana Inovasi Media Fasa 1 yang dibuka dari 1 hingga 14 Januari 2026, sebanyak 50 permohonan telah diterima.
“Keputusan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan dana disalurkan secara berimpak tinggi, telus dan memberi manfaat langsung kepada pembangunan kapasiti industri, termasuk aspek teknologi, kandungan dan pembangunan bakat,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, permohonan bagi Fasa 2 yang dibuka antara 9 hingga 22 Februari lalu turut menunjukkan momentum positif dengan penyertaan 19 organisasi media.
Fasa 3 pula akan dibuka bermula 1 hingga 14 Mac ini.
Menurut Fahmi, perkembangan tersebut memperlihatkan kesungguhan pemain industri untuk terus berinovasi serta menyesuaikan model perniagaan dengan keperluan dan realiti semasa industri media.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








