
Bot nelayan gaji kru warga asing tanpa permit sah ditahan
KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Pahang menahan sebuah bot nelayan didakwa menggajikan kru warga asing yang tidak memiliki permit sah pada Rabu lalu.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, penahanan itu dibuat dalam Op Makmur dan Op Tiris pada jarak lebih kurang lima batu nautika dari timur Pulau Berhala, Pekan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot nelayan kelas C itu dikendalikan seorang tekong dan tiga kru bot warga Myammar yang berusia lingkungan 22 hingga 42 tahun.
“Dalam penahanan itu juga, 630 kilogram ikan pelbagai jenis dirampas,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, kesemua kru bot bersama hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan untuk kelulusan menggajikan kru bukan warganegara di atas bot penangkapan ikan tempatan.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan terutamanya di perairan Pahang khasnya,” ujarnya.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








