Kerajaan teliti tindakan undang-undang lebih tegas terhadap kontraktor cuai
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti semula keperluan untuk mengenakan tindakan undang-undang atau penalti lebih tegas terhadap kontraktor atau syarikat konsesi penyenggaraan jalan yang didapati menjadi punca kemalangan maut.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihak kementerian memandang serius setiap aduan berkaitan mutu penyelenggaraan jalan dan telah mengambil langkah proaktif termasuk turun padang sendiri menilai prestasi penyenggaraan jalan raya di seluruh negara.
“Sebagai pemegang amanah kepada rakyat, saya ingin tegaskan bahawa setiap syarikat konsesi yang diberi tanggungjawab menyelenggara jalan perlu mematuhi kontrak serta melaksanakan tugas mereka dengan cekap dan penuh tanggungjawab,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama Radio, pagi tadi.
Menurut beliau, antara tindakan yang boleh diambil terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan tanggungjawab adalah pemotongan bayaran serta penamatan kontrak, seperti yang terkandung dalam klausa kontrak penyenggaraan rutin.
Mengulas mengenai langkah ke hadapan, beliau memaklumkan bahawa Kementerian Kerja Raya (KKR) kini sedang melaksanakan proses Request for Proposal (RFP) bagi kontrak baharu yang akan bermula selepas Februari 2026, melibatkan pelaksanaan syarat dan skop kerja yang diperbaharui.
“Buat pertama kalinya, KKR akan memasukkan elemen Audit Bebas ke dalam kontrak sebagai pihak ketiga untuk menjalankan pemantauan, agar tanggungjawab tidak diletakkan sepenuhnya kepada JKR sahaja.
“Langkah ini adalah untuk meningkatkan akauntabiliti, integriti dan ketelusan. Pemantauan juga akan bermula sebelum kontrak baharu dimeterai,” katanya.
Alexander menegaskan, rakyat berhak mendapat perkhidmatan penyelenggaraan jalan yang selamat dan berkualiti dan kementerian komited memastikan sistem baharu itu lebih telus serta mampu melindungi kepentingan dan keselamatan semua pengguna jalan raya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








