Keputusan saman barang kemas RM68.3 juta terhadap Rosmah diketahui hari ini
KUALA LUMPUR – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka mengetahui keputusan Mahkamah Tinggi hari ini berhubung saman melibatkan kehilangan 43 utas barang kemas bernilai RM68.3 juta yang dikemukakan sebuah syarikat barang kemas mewah dari Lubnan.
Hakim Datuk Quay Chew Soon dijadual menyampaikan keputusan dalam tuntutan yang difailkan Global Royalty Trading SAL Ltd terhadap Rosmah berhubung barang kemas yang didakwa diserahkan secara konsainan tetapi tidak dipulangkan.
Mahkamah turut dijangka memutuskan sama ada Ketua Polis Negara dan kerajaan, yang dinamakan sebagai pihak ketiga oleh Rosmah dalam prosiding itu, perlu menanggung sebarang liabiliti atau menyumbang kepada pembayaran ganti rugi sekiranya tuntutan tersebut berjaya.
Kes berkenaan membabitkan 44 utas barang kemas termasuk berlian, cincin, gelang, anting-anting dan tiara yang menurut syarikat berkenaan telah dibekalkan kepada Rosmah.
Rosmah sebelum itu mempertahankan bahawa barang kemas terbabit hilang selepas serbuan polis di Pavilion Residences pada Mei 2018 susulan siasatan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sepanjang perbicaraan, mahkamah mendengar keterangan beberapa saksi termasuk Pengarah Urusan Global Royalty Trading, Samer Hassib Halimeh, Rosmah sendiri serta pegawai polis yang terlibat dalam operasi serbuan tersebut.
Antara saksi utama ialah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dan Asisten Komisioner Foo Wei Min dari Bahagian Siasatan Pengubahan Wang Haram Bukit Aman.
Mahkamah turut diberitahu bahawa polis pada mulanya menggeledah unit kediaman milik anak-anak Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Mei 2018, namun tidak menemui sebarang barangan yang berkaitan.
Siasatan kemudian membawa kepada penemuan sebuah unit yang sedang diubah suai dan didaftarkan atas nama ahli perniagaan, Tan Sri Bustari Yusuf. Dalam serbuan itu, polis merampas 71 beg, sebuah kotak plastik dan 284 kotak yang mengandungi pelbagai beg tangan mewah.
Menurut keterangan saksi polis, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan barangan berkenaan dipindahkan ke unit tersebut antara 11 Mei hingga awal pagi 12 Mei 2018.
Daripada 44 utas barang kemas yang dituntut syarikat itu, hanya satu item iaitu gelang berlian zamrud berjaya dikenal pasti ketika pemeriksaan terhadap barang sitaan yang disimpan di Bank Negara Malaysia sebelum dipulangkan kepada pemiliknya.
Global Royalty Trading memfailkan saman itu pada 26 Jun 2018 dengan memohon perintah mahkamah supaya Rosmah memulangkan semua barang kemas berkenaan atau membayar nilai keseluruhannya yang dianggarkan berjumlah AS$14.57 juta (RM68.3 juta).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








