JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar kolej vokasional maut dalam nahas motosikal di Rembau

REMBAU – Seorang pelajar sebuah kolej vokasional maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 32.2, Jalan Seremban-Tampin berhampiran simpang Penajis-Chengkau, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 7.55 pagi itu, mangsa, Muhammad Haziq Afiq Mohd Shahril, 18, yang merupakan pelajar Semester 1 Diploma Agro Industri Ruminan di Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC sedang dalam perjalanan dari arah Tampin menghala ke Rembau.

ocpd
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali.

Menurut beliau, sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu seorang guru wanita berusia 49 tahun dari arah bertentangan dipercayai telah membelok ke simpang Penajis-Chengkau ketika mangsa sedang bergerak lurus di lorong kiri.

“Akibatnya, penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kenderaan tersebut.

“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune.

Beliau berkata, dua penumpang remaja perempuan yang berada di dalam kereta tersebut turut mengalami kecederaan ringan dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Menurut Azmi, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk proses bedah siasat.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta ketika membelok masuk ke simpang kanan jalan,” katanya.

Beliau berkata, sampel darah mangsa akan diambil untuk ujian toksikologi dan dihantar ke Jabatan Kimia Melaka, manakala ujian saringan air kencing terhadap pemandu kereta didapati negatif.

Tambah beliau, kedua-dua kenderaan yang terlibat telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau untuk pemeriksaan lanjut oleh Puspakom.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button