BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

13 PATI cuba bolos sempadan Kelantan diberkas JIM

KUALA LUMPUR – Cubaan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki Malaysia melalui laluan haram di sempadan Kelantan berjaya dipatahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi khas semalam, dengan sebahagian daripada mereka dipercayai pernah disenarai hitam daripada memasuki negara ini.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula pada pukul 5.10 pagi itu dijalankan di dua lokasi sekitar Kota Bharu hasil maklumat awam dan risikan pihaknya.

Menurut beliau, operasi berkenaan membabitkan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama JIM Kelantan serta kerjasama strategik Unit Risik Marin, MO PPM W3 Pengkalan Kubor, Tumpat.

“Berdasarkan maklumat awam serta risikan yang dijalankan, pasukan operasi menyerbu lokasi pertama di sekitar terminal bas dan menahan lapan lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki serta seorang wanita warga Indonesia.

“Di lokasi kedua, iaitu di kawasan perumahan, pasukan operasi berjaya menahan seorang wanita warga Myanmar walaupun suspek cuba melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, kesemua individu yang ditahan berusia antara 22 hingga 55 tahun, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 13 orang.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut membawa kepada rampasan lapan pasport Bangladesh dan Indonesia serta sebuah kenderaan jenis Proton Preve yang dipercayai digunakan bagi memudahkan pergerakan warga asing terbabit.

“Siasatan awal mendapati terdapat antara mereka yang ditahan dipercayai telah disenarai hitam daripada memasuki Malaysia, namun bertindak menggunakan laluan tidak diwartakan bagi mengelak pemeriksaan imigresen,” katanya.

Menurut beliau, kesemua warga asing itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Zakaria menegaskan JIM akan terus memperhebat tindakan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang cubaan kemasukan warga asing secara tidak sah termasuk melalui laluan tikus di kawasan sempadan.

“JIM kekal komited membanteras aktiviti penyeludupan migran dan akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan, kedaulatan serta kesejahteraan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button