Astro AWANI sedia bekerjasama dengan RTM anjur dialog Onn Hafiz-Maszlee
KUALA LUMPUR – Astro AWANI bersedia untuk bekerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi menyediakan platform siaran langsung untuk dialog interaktif antara Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Maszlee Malik.
Ketua Pengarang Astro AWANI, Zaiful Ariffin berkata, kerjasama itu bertujuan menyuburkan amalan demokrasi serta memperkukuh budaya intelektual dalam landskap politik negara.
Menurut beliau, dialog terbuka bukan bertujuan mencetuskan perbalahan, sebaliknya memberi ruang kepada rakyat menilai idea, dasar dan kemampuan kedua-dua pemimpin secara matang.
“Dialog intelek bukan untuk membuka ruang pergaduhan, sebaliknya ia akan membuka ruang untuk mematangkan politik serta memberi peluang kepada rakyat menilai siapa pemimpin yang lebih layak untuk mewakili mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan telah menyahut pelawaan Onn Hafiz untuk mengadakan dialog menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadual berlangsung pada 11 Julai.
Terdahulu, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa RTM bersedia menjadi platform bagi menganjurkan sesi dialog berkenaan.
Menurut Fahmi, inisiatif itu bertujuan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin menjelaskan visi, dasar dan hala tuju mereka kepada rakyat Johor secara terbuka menjelang hari pengundian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















