Rampas dadah dalam jet peribadi, PDRM tunggu maklumat pihak berkuasa Laos
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Laos berhubung rampasan 521 kilogram (kg) syabu (methamphetamine) daripada sebuah jet peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat terperinci mengenai kes itu daripada rakan sejawatan mereka di Laos, lapor NST Online.
BACA JUGA:
Polis Laos rampas 521kg syabu dari jet peribadi tiba dari Malaysia
Setakat ini, katanya, seorang rakyat Malaysia dipercayai antara 13 individu yang ditahan susulan rampasan dadah berkenaan.
“Setakat ini, kami belum menerima sebarang maklumat atau butiran daripada pihak berkuasa dadah Laos.
“Berdasarkan maklumat yang kita ada, salah seorang daripada 13 individu yang ditahan ialah warga Malaysia yang dipercayai ditangkap di Laos,” katanya, hari ini.
Beliau turut mengesahkan bahawa sebuah jet peribadi telah berlepas dari Subang ke Laos, namun menyatakan bahawa juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat tersebut bukan warga Malaysia.
Beliau turut menambah, rakyat Malaysia yang ditahan itu juga bukan sebahagian daripada penumpang yang menaiki jet peribadi berkenaan.
Ketika ditanya sama ada kes berkenaan mempunyai kaitan dengan penahanan seorang juruterbang warga Malaysia di Indonesia berhubung kes pengedaran dadah sebelum ini, Hussein berkata siasatan masih dijalankan.
“Perkara ini masih dalam siasatan. Terlalu awal untuk kita menyatakan sama ada terdapat perkaitan.
“Setakat ini, maklumat yang kita terima menunjukkan seorang warga Malaysia telah ditahan di sana, tetapi dia bukan salah seorang daripada mereka yang terbang dari Malaysia menerusi penerbangan berkenaan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






