Polis siasat laporan kejadian khianat di Taman Kinrara
PUCHONG – Polis sedang menyiasat dua laporan yang diterima berkenaan kejadian khianat serta ugutan jenayah yang berlaku di kawasan perumahan Taman Kinrara, di sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kedua-dua laporan itu diterima oleh pihak polis pada 9 Mac dan 10 Mac melibatkan dua insiden berbeza di lokasi sama.
Beliau memberitahu, susulan laporan pertama, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Kes tersebut membabitkan kejadian khianat serta ugutan jenayah yang dilaporkan berlaku di kawasan perumahan berkenaan.
“Sementara itu, satu lagi kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan melibatkan kejadian khianat dengan api yang mengakibatkan kerosakan sebuah kenderaan di lokasi sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Buat masa ini, katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti motif kejadian serta individu yang terlibat.
Beliau dalam masa sama meminta orang ramai memberi ruang sepenuhnya kepada pihak polis bagi melengkapkan proses siasatan.
“Polis turut menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian kaum serta ketenteraman awam.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang,” katanya.
Shazeli turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian supaya tampil menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













