Titah Agong isyarat tegas banteras budaya buli – Maszlee
KUALA LUMPUR – Mantan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung pelaksanaan Kempen Kesedaran Nasional Antibuli sebagai satu mandat moral yang wajib diberi perhatian serius oleh kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia.
Menurut beliau, titah tersebut bukan sekadar nasihat, sebaliknya isyarat jelas daripada seorang bapa kepada rakyat yang mahu anak-anak dilindungi daripada ancaman budaya buli yang semakin membimbangkan.
“Tuanku melihat isu buli bukan angka statistik, tetapi penyakit sosial yang merosakkan jiwa generasi muda.
“Titah ini melangkaui politik dan birokrasi, ia seruan seorang bapa yang mahu anak-anaknya dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Maszlee berkata arahan Seri Paduka agar Kementerian Komunikasi memimpin kempen itu adalah langkah tepat dalam era digital, bagi memastikan mesej kesedaran dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan melalui televisyen, radio serta media sosial.
Selain itu, beliau menegaskan pendekatan rentas kementerian yang diperkenankan Agong menuntut kerjasama menyeluruh, melibatkan sektor pendidikan, komunikasi, kesihatan, keselamatan dan komuniti ibu bapa.
“Sebagai seorang pendidik, saya tahu isu buli bukan perkara baharu. Setiap kali kerajaan bertukar, dasar sering terhenti separuh jalan.
“Titah kali ini wajar menjadi pemacu supaya kerajaan melaksanakan pelan rentas kementerian tanpa bertangguh lagi.
“Kita tidak boleh gagal lagi. Sudah tiba masanya budaya buli ditamatkan dan diganti dengan budaya hormat, disiplin dan kasih sayang,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








