Maszlee Malik kecewa, undangan berucap dibatalkan pihak berkuasa agama
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik kecewa selepas undangan untuk memberikan ucapan di salah sebuah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di Johor tentang inovasi dari kerangka ihsan yang merupakan salah satu tonggak MADANI dibatalkan.
Beliau berkata, sesi itu dibatalkan selepas pihak berkuasa agama mengatakan beliau tiada tauliah untuk mengajar agama di Johor.
“Saya tidak perasan bila pula tajuk inovasi dan ihsan (MADANI) masuk dalam kategori kuliah agama?
“Bila pulakah IPTA tidak boleh mengadakan wacana akademik apatah lagi tentang agenda MADANI kerajaan kecuali dengan tauliah mengajar agama?
“Jika ceramah agama dan kuliah agama umum atau di masjid memang bukan keminatan dan bukan medan saya, itu saya faham dan maklum dan saya tiada masalah dengan perkara tersebut,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman media sosialnya hari ini.
Menurut Maszlee, adalah tidak sepatutnya wacana akademik di menara gading disekat seperti itu kerana mempunyai autonomi.
Katanya, beliau tiada masalah jika disekat untuk menyampaikan kuliah agama kerana sudah lama meninggalkan ruang tersebut.
“Beberapa pihak dan negeri pernah mengundang saya ke program keagamaan samada ceramah atau forum di khalayak pun saya terpaksa menolak dengan baik kerana saya tidak berminat, kecuali ianya dalam bahasa Arab ataupun bahasa Inggeris, itupun jika dianjurkan oleh institusi akademik sahaja.
“Saya akur bahawa persoalan hukum-hakam dan wacana agama merupakan medan para asatizah dan agamawan, bukannya medan saya lagi. Saya sudah lama meninggalkan ruang tersebut tetapi wacana akademik di menara gading yang sepatutnya mempunyai autonomi? Ini satu yang baharu bagi saya,” katanya.
Sehubungan itu beliau menggesa supaya dibuat pemisahan yang jelas antara ruang akademik dan politik, dengan bidang kuasa pihak berkuasa agama di dalam apa-apa aktiviti dan ruang akademia.
Katanya, ia perlu agar pihak berkuasa agama tidak dibebankan dengan polemik akademia dan juga perbincangan politik yang menjangkaui bidang kuasa dan bidang kefahaman mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















