
Kes Zara Qairina: Sudah tiba masa Malaysia perkenal dasar lindungi hak murid
KUALA LUMPUR – Tragedi kematian murid, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Papar, Sabah perlu dijadikan isyarat kecemasan kepada seluruh sistem pendidikan negara untuk memperkukuh keselamatan pelajar.
Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, keselamatan murid bukan isu sampingan, sebaliknya merupakan amanah tertinggi yang wajib dipikul Kementerian Pendidikan (KPM).
Menurutnya, beberapa negara telah membuktikan keberkesanan langkah melindungi hak murid melalui dasar yang jelas dan pelaksanaan berani.
“Korea Selatan sejak 2012 melalui Student Rights Ordinance melarang penderaan fizikal dan verbal, menubuhkan badan pemantau hak murid serta menyediakan saluran aduan yang selamat.
“Finland pula menerusi KiVa Anti-Bullying Programme berjaya menurunkan kes buli dengan pendidikan empati dan penglibatan komuniti sekolah, manakala Kanada melalui Safe Schools Act menggabungkan perlindungan undang-undang dengan intervensi kaunseling intensif.
“Jepun pula mewajibkan setiap kes buli dilaporkan kepada pihak berkuasa pendidikan melalui sistem pusat yang telus,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, walaupun tiada model negara yang sempurna, mereka sekurang-kurangnya mempunyai kerangka yang jelas dan holistik dalam menangani isu buli di sekolah.
“Malaysia perlu membina versinya sendiri dengan menggabungkan elemen terbaik dunia, disesuaikan dengan realiti tempatan dan dipantau secara berterusan,” katanya lagi.
Maszlee berkata, langkah itu termasuk memperkenalkan Piagam Hak Murid Nasional, memperincikan definisi undang-undang berkaitan buli dan buli siber dalam Akta Pendidikan 1996, menubuhkan jawatankuasa pemantau di sekolah dan peringkat nasional, melaksanakan program pencegahan serta intervensi berlapis, selain membangunkan pangkalan data nasional kes buli yang boleh diakses pihak berkuasa.
Katanya, cadangan tersebut pernah diketengahkan dalam Laporan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara 2019 dan sepatutnya dilaksanakan pada 2021, namun terhenti akibat perubahan kerajaan pada 2020.
“Perubahan ini memerlukan komitmen politik yang berani dan penglibatan semua pihak. KPM perlu menubuhkan jawatankuasa pelaksanaan dalam tempoh 90 hari dan membentangkan Piagam Hak Murid di Parlimen sebelum akhir tahun ini.
“Jika kita gagal bertindak sekarang, kita akan membaca lagi nama-nama seperti Zara dan Faris dalam berita dan ketika itu, penyesalan sudah tidak bermakna,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








