JENAYAH & MAHKAMAH

Inkues kes Zara Qairina: 70 saksi termasuk pakar patologi dipanggil

KOTA KINABALU – Inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, bermula hari ini di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu dengan 70 saksi dijangka dipanggil sepanjang prosiding yang berlangsung sehingga 30 September ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan akan bertindak sebagai koroner dalam prosiding yang berlangsung selama 17 hari. Antara saksi utama termasuk pakar patologi yang menjalankan bedah siasat terhadap Allahyarham.

Inkues itu diadakan susulan kematian Zara yang ditemui tidak sedarkan diri di sekolah agamanya pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth keesokan harinya.

Kes berkenaan mengundang perhatian luas masyarakat apabila pemimpin negeri, aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak agar siasatan menyeluruh dijalankan bagi mencari keadilan.

Pada 8 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kubur Zara digali semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang. Lima hari kemudian, AGC memutuskan inkues diadakan untuk menentukan punca serta keadaan kematian termasuk sama ada wujud unsur jenayah.

Keluarga Allahyarham diwakili barisan peguam terdiri daripada Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Setakat jam 7 pagi, keadaan di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu dilaporkan tenang dengan hanya sebilangan kecil kakitangan berada di lokasi sebelum prosiding bermula.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button