JENAYAH & MAHKAMAH

Inkues Zara Qairina: Tiada kesan lebam, tanda penderaan ditemukan ketika pemeriksaan

KOTA KINABALU – Tiada kesan lebam atau tanda penderaan ditemukan pada tubuh pesakit ketika Allahyarham Zara Qairina Mahathir tiba di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Perkara itu dimaklumkan saksi, Dr Janefer Voo, 32, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan ketika inkues bagi mencari punca kematian Allahyarham di Mahkamah Koroner, di sini hari ini.

Dr Janefer merupakan pegawai perubatan pelatih dari Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang ditempatkan di HQE dan pada 16 Julai, jam 4.38 pagi, beliau menerima Zara yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Pemeriksaaan mendapati, pesakit mengalami kecederaan termasuk bengkak dan pendarahan di bahagian belakang kepala, patah tertutup pada pergelangan tangan kiri, patah terbuka pada pergelangan kaki kiri serta patah tertutup pada pergelangan kaki kanan.

Selepas pemeriksaan, “Trauma Alert” diaktifkan di Jabatan Kecemasan HQE pada pukul 4.42 pagi, 16 Julai, bagi rujukan segera kepada pasukan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi.

“Berdasarkan penilaian, pesakit disyaki mengalami kecederaan otak trauma yang serius, kecederaan di bahagian belakang kepala, patah pada kedua-dua pergelangan kaki serta pergelangan tangan kiri, selain disyaki mengalami pendarahan dalaman.

“Disebabkan tekanan darah pesakit yang terlalu rendah, beliau disyaki mengalami kecederaan dalaman akibat trauma ‘impak tinggi’ pada badan yang menyebabkan pendarahan dalaman.

“Tiada kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi.

Pegawai penyelaras, Datuk Badiuszaman Ahmad, kemudian meminta Dr Voo menandatangani kenyataan saksinya.

Dr Janefer berkata, selepas proses resusitasi dan pengimejan dilakukan, pesakit didapati mengalami pendarahan dalam otak, patah terbuka pada pergelangan kaki kiri dan tumit kiri, patah tertutup pada lengan kiri dan kaki kanan, patah tulang lumbar vertebrae 2, 3 dan 4, serta pembekuan darah pada tulang pelvis dan otot psoas kiri.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button