BERITA SEMASA

Himpunan Solidariti Zara Qairina tuntut sistem keadilan lebih telus, adil

PUTRAJAYA – Himpunan Solidariti ke atas Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang berterusan merupakan satu manifestasi suara rakyat yang mahukan sistem keadilan yang telus dan adil.

Menurut seorang pengamal undang-undang, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, kebangkitan yang bermula di Sabah itu berpunca daripada kelewatan pihak berkuasa melaksanakan tindakan yang adil terhadap kes berkenaan.

solidariti zara qairina
Antara orang ramai yang berkumpul bagi menyatakan solidariti kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Putrajaya, malam tadi.

“Dan sekarang, semangat itu merebak ke pelusuk negara. Golongan rakyat mahukan pihak berkuasa mengambil isu ini sebagai sesuatu yang serius,” katanya, malam tadi.

Sheikh Ikhzan merupakan salah seorang daripada penceramah yang hadir pada himpunan yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Kebajikan Harmoni Ukhuwah Kuala Lumpur (PKHUKL), di sini malam tadi.

“Sekarang kita nampak suara rakyat semakin kuat mendesak kerajaan, saya berharap ini akan menjadi satu wake up call buat pihak yang berwajib.

“Kita berharap, pihak berkuasa akan mengambil serius setiap jenayah yang terjadi, tidak kira kepada VVIP ataupun rakyat biasa kerana kita semua mempunyai hak yang sama seperti dijamin di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” kata Sheikh Ikhzan lagi.

solidariti zara qairina
Orang ramai yang hadir pada Himpunan Solidariti Zara Qairina Mahathir di Putrajaya, malam tadi turut menurunkan tandatangan mereka pada satu banner besar.

Untuk rekod, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin prinsip kesamarataan kepada semua orang, menyatakan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan undang-undang yang sama rata.

Perkara itu turut melarang diskriminasi terhadap warganegara berdasarkan agama, bangsa, keturunan, tempat lahir, atau jantina, kecuali jika dibenarkan oleh Perlembagaan.

Kes pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha itu mencetus satu fenomena dalam kalangan rakyat apabila ia dikaitkan dengan insiden buli dalam kalangan pelajar sekolah berasrama penuh (SBP).

Buat masa ini, lima suspek telah dituduh di mahkamah minggu lepas, namun identiti mereka yang berusia di bawah 18 tahun tidak didedahkan kerana dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] dan juga kerana pihak peguam bela telah memohon supaya gag order dikenakan ke atas perbicaraan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button