BERITA SEMASA

SJA kesal gangguan orang awam ketika liputan kes Zara Qairina

KOTA KINABALU – Persatuan Wartawan Sabah (SJA) menzahirkan kekesalan terhadap tindakan segelintir orang awam yang didakwa mengganggu petugas media ketika membuat liputan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, semalam.

Presiden SJA, Mariah Doksil berkata, pihaknya menerima laporan bahawa terdapat individu yang bukan wartawan atau pengamal media berdaftar bertindak berada bersama petugas media sehingga menimbulkan kekecohan.

Menurutnya, dua wartawan wanita juga mendakwa diganggu apabila individu berkenaan berdiri terlalu rapat hingga menyebabkan berlaku sentuhan tubuh.

“SJA memandang serius aduan ini kerana ia melibatkan keselamatan petugas media, khususnya wartawan wanita.

“Kami mahu pihak berkuasa memperketatkan kawalan akses di kawasan larangan seperti mahkamah supaya hanya media berdaftar dibenarkan berada dalam zon liputan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mariah berkata, ada juga pihak yang membuat penstriman langsung di lokasi mahkamah untuk tontonan awam, malah didakwa menjadikan ia sebagai sumber keuntungan.

“Tindakan seperti ini bukan sahaja mengganggu tugas wartawan sebenar, malah boleh menimbulkan kekeliruan kerana maklumat yang disebarkan tidak disahkan.

“Sidang media seharusnya mengutamakan wartawan berdaftar bagi memastikan laporan yang tepat, bertanggungjawab dan tidak disensasikan,” katanya lagi.

Beliau berkata, semua pihak perlu menghormati piawaian kewartawanan serta undang-undang agar liputan kes sensitif seperti ini tidak disalahgunakan.

Kes Zara Qairina terus mendapat perhatian meluas bukan sahaja daripada media arus perdana, malah turut dijadikan bahan liputan oleh pempengaruh media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button