BERITA SEMASA

Jasad Zara Qairina masih utuh, seperti baru dikebumikan

SIPITANG – Walaupun telah lebih tiga minggu dikebumikan, jasad Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir didakwa masih utuh ketika proses gali semula kuburnya petang tadi.

Perkara itu dikongsi seorang pengguna media sosial di Threads yang menggunakan nama ‘Kayu Merah’.

Van jenazah dirakam memasuki kawasan Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol di Sipitang, Sabah petang tadi. – Foto Media Sosial

Menurutnya, ibu arwah sendiri melihat keadaan jasad yang masih elok dan wajah yang tidak berubah.

“Jasadnya masih utuh, Allahuakbar. Itulah kuasa Allah. Wajahnya seperti baru semalam dikebumikan,” tulisnya.

Terdahulu, proses penggalian semula pusara arwah di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, bermula sekitar pukul 6 petang sebelum selesai pada pukul 7.31 malam.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat yang dijangka dilakukan pada pukul 9 pagi esok.

Suasana di lokasi dikejutkan dengan kehadiran orang ramai yang memenuhi kawasan tanah perkuburan meskipun hujan renyai-renyai, manakala anggota polis berkawal bagi memastikan kelancaran proses tersebut.

Kes kematian Zara Qairina, yang disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar pada 17 Julai lalu, mendapat perhatian meluas netizen.

Penggalian semula dilakukan selepas Mahkamah Majistret mengeluarkan perintah susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memerlukan tindakan itu bagi membantu siasatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button