BERITA SEMASA

Kes Zara Qairina: Surat akuan tidak boleh jadi alasan tolak bedah siasat – PEJUANG

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menolak sepenuhnya dakwaan bahawa keputusan untuk tidak melakukan bedah siasat terhadap arwah Zara Qairina dibuat atas persetujuan ibu mangsa melalui ‘Surat Akuan Enggan Bedah Siasat’.

Ahli Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan Pejuang, Noor Zarina Nordin berkata, alasan itu dilihat sebagai cubaan mengalihkan tanggungjawab daripada pihak berkuasa yang mempunyai kewajipan mematuhi undang-undang.

Menurutnya, Seksyen 329 Kanun Prosedur Jenayah dengan jelas menetapkan bahawa kematian yang berlaku dalam keadaan mencurigakan adalah kematian luar biasa yang wajib melalui proses bedah siasat tanpa mengira persetujuan atau penolakan waris.

“Undang-undang ini bukan sekadar hiasan buku peraturan dan sama sekali tidak boleh diketepikan dengan sekeping surat atau tanda tangan. Menggunakan surat akuan sebagai alasan adalah tindakan memalukan dan berbahaya.

“Ia memberi gambaran seolah-olah Kanun Prosedur Jenayah boleh dibatalkan dengan dokumen dalaman hospital.

“Kalau logik ini diterima, selepas ini kita boleh keluarkan ‘Surat Akuan Enggan Siasat Kes Bunuh’ atau ‘Surat Akuan Enggan Tangkap Penjenayah’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan untuk tidak membedah siasat telah menghapuskan peluang mendapatkan bukti kritikal, menutup pintu kebenaran dan memberi ruang kepada pihak yang bersalah untuk bebas.

“Tindakan itu bukan sekadar kecuaian, malah satu bentuk pengkhianatan terhadap sumpah jawatan dan amanah rakyat.

“Keadilan untuk Zara Qairina semakin jauh kerana pihak berkuasa memilih jalan mudah berbanding jalan yang benar.

“Kami menuntut supaya siasatan dilakukan secara menyeluruh dan semua pihak yang melanggar prosedur diheret ke muka pengadilan.
“Keadilan bukan pilihan, tetapi kewajipan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button