BERITA SEMASA

Pelajar vokasional maut dibelasah rakan: KPM beri kerjasama penuh

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi kerjasama penuh susulan kes kematian seorang pelajar lelaki dibelasah rakan di sebuah kolej vokasional dekat Lahad Datu, Sabah.

KPM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya sudah pun bertindak dengan menyalurkan bantuan kebajikan kepada keluarga mangsa.

Selain itu, KPM juga menawarkan sokongan
psikososial keluarga mangsa, pelajar lain, guru dan seluruh warga kolej berkenaan.

“KPM menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azman, pelajar kolej vokasional di Sabah yang telah meninggal dunia semalam.

“Pada masa sama, KPM menyeru semua pihak untuk menghormati privasi keluarga mangsa.

“KPM tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya,” katanya.

Semalam, Muhd Nazmie ditemui mati di bilik
asrama dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas pada jam 6.50 pagi.

Pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh mangsa.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis, Dr Rohan Shah Ahmad, berkata, punca kejadian ialah perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni-penghuni asrama yang lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button