Zahid Hamidi nafi ada arahan halang MB Johor masuk kawasan FELDA
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa beliau mengeluarkan arahan menghalang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, daripada memasuki kawasan FELDA bagi menghadiri program penyerahan geran hak milik kepada peneroka.
Memetik laporan BH Online, Ahmad Zahid menjelaskan beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak untuk menyekat pergerakan Menteri Besar Johor ke kawasan tanah rancangan berkenaan.
“Saya tidak pernah mengarahkan atau menghalang Menteri Besar Johor untuk masuk ke dalam kawasan FELDA,” katanya dalam jawapan ringkas kepada BH Online, hari ini.
Isu itu timbul selepas Onn Hafiz mendakwa beliau dihalang memasuki kawasan FELDA bagi menghadiri Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka sempena sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor yang sepatutnya berlangsung di FELDA Ulu Belitong, Kluang pada 20 dan 21 Jun lalu.
Susulan halangan tersebut, majlis berkenaan terpaksa dipindahkan ke Dewan Dato’ Onn, Taman Sri Lambak, Kluang.
Ketika berucap pada majlis itu, Onn Hafiz meluahkan rasa kecewa kerana mendakwa buat pertama kali dalam sejarah perkhidmatannya sebagai Menteri Besar, beliau tidak dibenarkan memasuki kawasan FELDA untuk menyerahkan hak milik kepada peneroka.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak menyalahkan pihak pengurusan FELDA dan memahami situasi yang berlaku.
Sebelum ini, kerajaan negeri Johor melalui EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip, turut memohon maaf kepada warga FELDA susulan penangguhan sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor pada saat akhir.
Menurut Zahari, pihaknya dimaklumkan bahawa FELDA Negeri Johor menerima arahan supaya sambutan tersebut tidak diteruskan, walaupun persiapan telah dibuat bersama kerajaan negeri, FELDA dan jawatankuasa di peringkat rancangan.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa komitmen kerajaan negeri untuk terus menjaga kebajikan dan kepentingan warga FELDA di Johor akan diteruskan tanpa sebarang kompromi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








