BERITA SEMASA

KKDW sasar UPTM, UniKL tersenarai di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun

KUALA NERUS – Kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merancang langkah strategik menyenaraikan dua institusi pengajian tinggi (IPT) kelolaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) iaitu Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ke Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perancangan itu merupakan antara 28 inisiatif utama yang digariskan sebagai hala tuju transformasi KKDW bagi tahun ini, selari dengan aspirasi pembangunan ekonomi Bumiputera jangka panjang.

Menurut beliau, langkah penyenaraian itu selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (Putera35) yang memberi penekanan kepada pemerkasaan institusi dan entiti berdaya saing milik Bumiputera.

“Selaras dengan Putera35, kita merancang supaya UPTM dan UniKL disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Kita meletakkan jeda waktu maksimum tiga tahun berdasarkan rekod prestasi keuntungan kedua-dua institusi ini,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merumuskan Permukiman KKDW yang berlangsung sejak Ahad lalu.

Ahmad Zahid berkata, sasaran berkenaan adalah realistik berikutan pencapaian kewangan UPTM dan UniKL yang menunjukkan prestasi memberangsangkan, sekali gus memenuhi antara prasyarat utama untuk penyenaraian di pasaran saham.

Selain itu, beliau memaklumkan kemasukan pelajar ke kedua-dua institusi tersebut termasuk pelajar antarabangsa terus menunjukkan peningkatan, khususnya dalam bidang berteknologi tinggi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (IoT) dan Robotik.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata KKDW turut berhasrat agar entiti usahawan profesional yang dibimbing dan dibiayai oleh MARA termasuk Uni Klinik, Uni Dental dan Uni Farmasi turut dipertimbangkan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button