‘Ada pihak cuba lagakan Zahid dengan saya’ – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa ada pihak yang cuba melagakannya dengan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Mohamad berkata, terdapat pelbagai usaha dibuat untuk mencetuskan perpecahan dalam kepimpinan parti, namun beliau enggan melayan usaha itu.
“Ada orang nak lagakan saya dengan Datuk Seri (Zahid Hamidi). Apa orang tak cakap pasal Datuk Seri, adu domba untuk lagakan.
“Tetapi saya butakan mata dan tenangkan jiwa untuk bersama dengan parti,” katanya tanpa mendedahkan mana-mana pihak.
Mohamad berkata demikian ketika berucap pada pembukaan Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Beliau menambah, pada usianya yang mencecah 70 tahun, beliau tidak lagi berminat untuk bercakap mengenai kerjaya namun memberi keutamaan kepada apa yang beliau boleh sumbangkan kepada parti dan negara.
“Saya bercakap hari ini ketika menyambut usia 70 tahun. I got nothing to lose.
“Saya bukan lagi nak cakap pasal kerjaya, tetapi hendak bagi balik sumbangan kepada parti dan negara,” katanya lagi.
Mohamad seterusnya berkata, UMNO tidak boleh berpecah dan harus bersatu untuk menjadikan parti itu kembali dominan.
“Parti yang berpecah belah akan mudah diperlakukan dan dipergunakan oleh pihak berkepentingan dari dalam dan luar.
“Ia akan menjerumuskan kita ke dalam percaturan yang akhirnya sedikit demi sedikit meminggirkan dan mengecilkan peranan kita.
“Jangan ada anasir mahu mengadu domba dan melaga-lagakan kita antara satu sama lain,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








