KUALA LUMPUR – Majlis Ulama UMNO menggesa pihak berkuasa agama mengambil tindakan tegas dan menjalankan siasatan segera terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh susulan kenyataannya yang didakwa menyentuh sensitiviti umat Islam.
Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad berkata, kenyataan berkenaan bukan sahaja disifatkan tidak sahih malah berpotensi mencetuskan keresahan serta perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam sekiranya tidak ditangani secara serius.
Menurut beliau, pihak berkuasa juga perlu segera membendung penyebaran sebarang fatwa politik songsang yang cuba disandarkan atas nama agama bagi tujuan tertentu.
“Pihak berkuasa perlu tampil memberikan penjelasan tuntas supaya isu ini tidak terus menimbulkan kekeliruan dan perpecahan.
“Kita mesti menghormati institusi agama Islam di bawah naungan Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dusuki turut menegaskan bahawa budaya permusuhan sesama Muslim tidak seharusnya dipupuk melalui polemik agama yang tidak bertanggungjawab.
Tegas beliau, mengikut pegangan Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ), para sahabat Rasulullah SAW merupakan generasi terbaik yang mempunyai martabat tinggi hasil pengorbanan dan keimanan mereka.
Terdahulu, tular video ceramah Nik Zawawi di Kuala Terengganu minggu lalu yang didakwa menghina serta mempersendakan kewibawaan sahabat Nabi Muhammad SAW sehingga menerima kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin PAS sendiri.
Susulan kontroversi itu, Nik Zawawi tampil memohon maaf secara terbuka dan mengakui beliau kurang cermat ketika mengolah maklumat dalam ceramahnya.
Dalam perkembangan sama, Dewan Ulamak PAS turut mengakui terdapat kekhilafan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil rakyat parti berkenaan.
Dusuki pada masa sama menyeru semua pemimpin politik, khususnya daripada PAS, agar lebih berhati-hati ketika menyentuh isu berkaitan agama, raja dan kaum (3R) selain menjauhi budaya takfir dan fitnah dalam berpolitik.
“Politik mesti dipandu dengan ilmu dan akhlak. Perbezaan parti politik tidak boleh membawa kepada penghinaan tokoh-tokoh Islam antara satu sama lain,” katanya.