Desa perlu jadi enjin pertumbuhan negara – Zahid
PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kawasan desa berpotensi muncul sebagai enjin pertumbuhan baharu negara sekiranya dibangunkan secara tersusun dan strategik.
Beliau berkata, kejayaan pembangunan luar bandar tidak lagi boleh diukur berdasarkan jumlah projek atau peruntukan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai melalui perubahan nyata yang dirasai rakyat.
Menurutnya, dalam suasana ekonomi yang mencabar, usaha mempertahankan pendapatan masyarakat desa perlu digandingkan dengan pembinaan ekosistem ekonomi yang lebih kukuh dan mampan.
“Di sinilah pentingnya Ekonomi Desa Nasional sebagai pendekatan baharu untuk mengangkat desa sebagai pusat nilai dan peluang pertumbuhan.
“Kita tidak boleh hanya membantu, kita mesti membina sistem yang memberi peluang, pasaran dan nilai (kepada rakyat desa),” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan (KKDW), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zahid turut merakamkan penghargaan terhadap bekas Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman atas sumbangan dan legasi yang ditinggalkan sepanjang menerajui kementerian berkenaan.
“Banyak asas kukuh yang telah dibina dan ia akan terus menjadi asas kekuatan kepada kementerian ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri Suriani Ahmad sebagai Ketua Setiausaha KKDW yang baharu.
“Saya yakin dengan pengalaman dan kewibawaan beliau, KKDW akan terus dipacu dengan pendekatan lebih dinamik serta berimpak,” katanya.
Tegas Zahid, kementerian itu akan terus bergerak ke hadapan berlandaskan prinsip Amanah, Zahir dan Hasil dalam usaha memperkasa pembangunan luar bandar sebagai kekuatan masa depan Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








