Anwar nafi dakwaan wujud arahan halang MB Johor masuk kawasan FELDA
DENGKIL – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan dakwaan kononnya wujud arahan bagi menghalang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi daripada memasuki kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan hanya memberikan tumpuan kepada pelaksanaan projek di bawah bidang kuasa sedia ada di tanah rancangan berkenaan, lapor BERNAMA.
“Arahan (halang) tak ada. Arahan (adalah) Kerajaan Persekutuan layan projek Persekutuan (manakala) negeri, dia buat kerja negerilah. Apa nak riuh-riuh, buat apa,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Pekan Dengkil, di sini hari ini.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Onn Hafiz bahawa beliau dihalang daripada memasuki kawasan FELDA bagi penyerahan geran hak milik kepada peneroka sempena sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026.
Perdana Menteri seterusnya menegaskan, beliau tidak akan melayan komen oleh pihak luar yang mempunyai agenda tertentu, sebaliknya akan terus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas demi manfaat rakyat.
“Saya tidak jelas (maksud mereka), tidak layan sangat dengan komen-komen ini. Kita banyak kerja kita,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meminta Perdana Menteri dan Pengarah Besar FELDA menjelaskan pihak yang mengeluarkan arahan pembatalan sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor serta menghalang Menteri Besar Johor memasuki kawasan tanah rancangan itu.
Beliau berkata, persoalan itu timbul selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan ada mengeluarkan arahan membatalkan program berkenaan mahupun menghalang Onn Hafiz daripada memasuki kawasan FELDA.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








