BERITA SEMASA

Sanusi dituntut minta maaf, ganti rugi RM200 juta oleh Vincent Tan

KUALA LUMPUR – Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan ganti rugi sebanyak RM200 juta daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataan berunsur fitnah.

Vincent Tan yang juga Penasihat Berjaya dan Berjaya Land Berhad mengumumkan tuntutan itu dengan memberi tempoh sehingga tamat waktu kerja esok pada 8 Ogos.

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan bilionair tersebut menfailkan saman terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu atas dakwaan fitnah dan kenyataan tidak benar mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) dalam ucapan pada 2 Ogos lalu di Dataran Darulaman, Jitra, Kedah.

Tuntutan tersebut dibuat melalui surat tuntutan yang dihantar oleh firma guaman yang mewakili ahli perniagaan itu dan syarikat Berjaya Land Berhad, Piere Chuah & Associates pada 4 Ogos lalu.

Kenyataan Sanusi pada Jelajah Mega PN Best itu dikatakan telah menggambarkan Vincent Tan atau nama penuhnya Vincent Tan Chee Yioun seorang ahli perniagaan yang korup, kroni kepada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan telah memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.

Berjaya Land dalam kenyataan hari ini berkata, satu surat tuntutan melalui firma guaman mewakili Vincent Tan dan pihaknya dikemukakan kepada Muhammad Sanusi pada kelmarin, yang menggariskan lima tuntutan.

Yang pertama, tanpa syarat menarik balik semua kenyataan defamasi dalam ucapan Menteri Besar Kedah yang merujuk kepada Vincent Tan dan Berjaya Land.

Kedua, mengemukakan permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat berhubung ucapan itu mengikut terma pihak guaman untuk diterbitkan dengan serta-merta oleh Muhammad Sanusi di platform ditentukan pihak sama.

“Ketiga, menyediakan jaminan bertulis bahawa Muhammad Sanusi tidak akan mengulangi penerbitan dan ucapan mengenai kenyataan dalam ucapan berkenaan Vincent Tan dan Berjaya Land.

“Keempat, menyediakan jaminan bertulis bahawa Muhammad Sanusi dengan segera menghentikan dan tidak akan melanjutkan penerbitan, ucapan, penulisan, perkongsian, pengedaran semula, penyiaran semula atau perkongsian semula dengan apa cara sekalipun mengenai kenyataan dan perkataan dalam ucapan itu.

“Kelima, bersetuju membayar pampasan RM200 juta kepada Vincent Tan dan Berjaya Land. Jika Muhammad Sanusi gagal mematuhi tuntutan terbabit menjelang 8 Ogos 2023 (esok), tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Vincent Tan juga berkata kenyataan defamasi oleh Sanusi itu mencemarkan integriti, reputasi dan imejnya serta Berjaya Land.

“Tuduhan dilemparkan menimbulkan keraguan dan mencetuskan syak wasangka tanpa sebab mengenai usaha perniagaan serta inisiatif kedermawanan yang sah.

“Kami ingin menyampaikan mesej jelas bahawa sesiapa yang membuat sebarang kenyataan berbaur palsu dan mencemarkan imej tidak akan dipandang endah serta kami ingin pihak terbabit bertanggungjawab atas tindakan mereka,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button